Zaidi dipecat, enggan rayu keputusan
Mejar Zaidi Ahmad dibuang kerja selepas didapati bersalah melanggar perintah Majlis Angkatan Tentera dengan memberi kenyataan media tanpa kebenaran.
"Mahkamah secara sebulat suara menjatuhkan hukuman dibuang kerja dari perkhidmatan Seri Paduka Baginda," kata Yang Dipertua Mahkamah, Kolknel Saadon Hasnan.
Zaidi yang bercakap kepada media selepas mahkamah ditangguhkan petang ini bagaimanapun berkata enggan merayu terhadap hukuman itu.
Beliau menjawab ringkas "tak" sewaktu ditanya jika akan merayu kes ini.
"(Saya) terima takdir Allah," kata juruterbang pesawat pejuang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) itu.
Ditanya wartawan jika beliau menyesal dengan keputusan hari ini, Zaidi menjawab ringkas , "Nak menyesal buat apa, kita buat benda betul".
Melangkah sugul
Bagaimanapun, wajah Zaidi kelihatan seperti cuba menyembunyikan riak-riak kesedihannya.
Matanya kemerah-merahan dan senyumannya petang ini ringkas dan tidak seceria sebelum ini apabila melemparkan pandangan kepada lensa kamera.
Beliau juga hanya bercakap ringkas kepada wartawan sewaktu menjawab soalan.
Sebelum itu, dalam galeri mahkamah Zaidi juga kelihatan sugul selepas keluar dari kandang tertuduh apabila hukuman dijatuhkan.
No comments:
Post a Comment